mutakhir

Persimpangan bertingkat 350 meter dibuka

Oleh Zaid Salim

PERSIMPANGAN bertingkat sepanjang 350 meter yang menghubungkan Kampung Seberang Bukit Tumbuh hingga ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Nerus dibuka kepada orang ramai hari ini.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, jejambat yang menelan kos hampir RM25 juta itu bakal memberikan kelegaan kepada pengguna dalam mengatasi masalah kesesakan di Jambatan Sultan Mahmud dengan adanya susur keluar ke Kampung Seberang Takir, Kuala Nerus yang secara tidak langsung dapat melancarkan aliran trafik di kawasan berkenaan.

Katanya, projek yang mula dibina sejak November 2015 dikendalikan sepenuhnya oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri.

"Peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya yang menyebabkan kesesakan terutama pada musim perayaan dan cuti sekolah dijangka dapat diselesaikan dengan adanya persimpangan bertingkat ini," katanya pada Majlis Pelepasan Trafik di Jejambat Bukit Tumbuh, Kuala Nerus, hari ini.

Turut hadir Pengarah JKR negeri, Ir Che Kamaruddin Bahar; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail dan Pegawai Daerah Kuala Nerus, Datuk Tengku Farouk Hussin Tengku Jalil.

Ahmad Razif berkata, kerajaan negeri turut merancang membina laluan bertingkat di Bandaraya Kuala Terengganu bagi mengatasi kesesakan dengan kos dianggarkan bernilai RM500 juta.

Beliau berkata, cadangan membina laluan berkenaan sudah dimajukan kepada kerajaan pusat.

"Laluan bertingkat itu akan dibina bermula dari persimpangan lampu isyarat Batu Buruk ke Jalan Sultan Muhammad dan pembinaannya kelak dapat menyuraikan kesesakan di Jalan Sultan Mahmud yang menjadi jalan utama untuk masuk ke Bandaraya Kuala Terengganu.

"Selain itu, kerajaan negeri sedang membuat persediaan menaik taraf laluan empat lorong di Jalan di Durian Burung, Teluk Pasu, Batu Enam, Tepoh ke susur Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2)," katanya.

Disiarkan pada: December 21, 2017 @ 9:29pm
d