mutakhir

[UPDATE] Hutang dadah punya hal [METROTV]

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

KEJADIAN pembunuhan tragik seorang lelaki di stesen minyak Taman Pelangi, Johor Bahru, Ahad lalu disebabkan masalah hutang daripada aktiviti pengedaran dadah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata, kes berkenaan disifatkan terpencil kerana hanya membabitkan antara individu itu sendiri.

"Kes ini menarik perhatian kerana ia ditularkan. Ia sebenarnya kes terpencil yang mana kejadian berlaku antara individu itu sendiri mengenai hutang pengedaran dadah.

"Itu yang kita dapat pastikan selepas membuat tangkapan seorang lelaki dan wanita di Pulau Pinang yang menunjukkan itulah (hutang) punca sebenar kejadian," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.

Beliau berkata, orang ramai tidak perlu gusar dengan kejadian itu kerana polis Johor sentiasa memastikan keselamatan negeri ini terkawal.

Menurutnya, sehingga semalam, seramai 14 individu sudah ditahan termasuk tangkapan terbaru seorang lelaki, selain tujuh yang ditahan di Singapura, kelmarin.

Katanya, semua yang ditahan adalah warga tempatan dan direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Kita masih menjalankan siasatan untuk mengesan saki baki suspek untuk membantu siasatan yang mana kita sudah mengenal pasti mereka.

"Kita juga berharap kes ini dapat diselesaikan dengan segera," katanya.

Menurutnya, pasukan penyiasat dari Bukit Aman turut diarahkan membantu proses soal siasat berikutan pelbagai elemen perlu dilihat secara terperinci.

"Kita memohon semua pihak memberi masa kepada polis untuk menjalankan siasatan secara terperinci. Kita percaya akan ada lagi suspek yang ditahan untuk membantu siasatan. Masih terlalu awal untuk kita mendedahkan semua maklumat," katanya.

Wan Ahmad Najmuddin turut mengesahkan nombor pendaftaran digunakan pada BMW 520i yang dinaiki suspek adalah palsu, dan sehingga kini kenderaan itu masih belum ditemui.

"Saya juga ingin menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah membuat andaian serta tidak menyebarkan maklumat tanpa mendapatkan pengesahan.

“Tindakan ini hanya akan mencetuskan keadaan kurang senang. Kita boleh mengambil tindakan mengikut undang-undang sedia ada sekiranya ada maklumat palsu atau andaian yang dibuat dan disebarkan," katanya.

Berita berkaitan

Suspek tikam, gilis direman seminggu [METROTV]

Perang kongsi gelap: 2 ditahan

[UPDATE] Angkara dendam kongsi gelap

Ditikam, dilanggar, digilis sampai mati [METROTV]

Disiarkan pada: December 22, 2017 @ 12:02pm
d