mutakhir

Polis serbu 'lubuk' gengster

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

SERAMAI 31 individu ditahan atas pelbagai kesalahan dalam siri serbuan Ops Cantas Khas bagi membanteras kegiatan kumpulan kongsi gelap di negeri ini, hari ini.

Menerusi catatan dalam laman Facebook rasmi PDRM Johor, pemeriksaan dilakukan terhadap 257 individu bermula 12 tengah malam hingga 6 pagi tadi.

Operasi yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor itu menyasarkan premis atau pusat hiburan yang dipercayai menjadi tempat pertemuan ahli kongsi gelap.

Katanya, operasi itu juga dilancarkan bagi mengekang dan melumpuhkan kegiatan jenayah kekerasan, jenayah jalanan dan jenayah bersindiket.

Polis Johor turut menegaskan bahawa pihaknya sentiasa berusaha menangani mana-mana kumpulan yang cuba menimbulkan kekacauan dan ketakutan kepada masyarakat.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata, semua kontinjen polis seluruh negara sudah diarahkan untuk melancarkan Ops Cantas dan Ops Dadu menjelang perayaan Hari Krismas dan Tahun Baru 2018.

"Semua kontinjen seluruh negara sudah diarahkan untuk melancarkan operasi seumpama ini yang akan diadakan setiap hari apatah lagi pada musim perayaan dan tahun baru ini.

"Di Johor, anda akan dapat melihat pasukan polis berpakaian 'Men In Black' (MIB) berada di tempat-tempat awam sepanjang operasi ini dijalankan," katanya ketika sidang media di IPK Johor, hari ini.

Disiarkan pada: December 22, 2017 @ 12:51pm
d