mutakhir

Hasrat tak sampai

Oleh Hamzah Osman

HASRAT sekumpulan mat rempit untuk meneruskan aksi masing-masing di jalan raya tidak kesampaian apabila ditahan dalam Op Bersepadu Samseng Jalanan di Jalan Padang Matsirat-Kuah, Langkawi, hari ini.

Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Langkawi Asisten Superintendan Ahmad Shukri Ramli, berkata pihaknya melakukan intipan dan pemantauan di kawasan terbabit yang kerap menjadi tempat mat rempit berlumba.

"Pada 1.15 pagi sepasukan anggota yang membuat pemantauan di Jalan Padang Matsirat-Kuah mengekori sekumpulan penunggang motosikal yang berlumba dan melakukan aksi berbahaya.

"Lima motosikal dalam kumpulan itu ditunggang dengan kelajuan tinggi, selain aksi potong memotong serta zig zag yang berbahaya kepada pengguna lain," katanya ketika dihubungi hari ini.

Ahmad Shukri berkata, susulan itu pada 1.30 pagi, polis menahan lima penunggang motosikal terbabit berusia antara 14 dan 22 tahun, sejurus mereka tiba di Kampung Mata Ayer.

Katanya, semua motosikal dan individu yang ditahan dibawa ke Balai Polis Trafik Langkawi dan disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: December 22, 2017 @ 5:28pm
d