mutakhir

Pantau bas, van sekolah haram

Oleh Aizat Sharif

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah sedang memantau perkhidmatan bas atau van sekolah haram yang beroperasi sempena sesi persekolahan baru, tahun hadapan.

Pengarah JPJ Kedah Ismasuhaimi Shariff berkata, pihaknya menyedari bahawa terdapat individu atau pihak yang cuba mengambil kesempatan menyediakan perkhidmatan bas atau van sekolah secara haram nanti.

“Kita bersama agensi lain seperti Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Kementerian Pendidikan membuat pemantauan terhadap perkhidmatan bas atau van sekolah secara haram ini.

“€œDalam masa sama juga, kita menyeru ibu bapa supaya tidak sekali-kali menggunakan perkhidmatan berkenaan kerana bas atau van sekolah haram tidak mempunyai perlindungan insurans dan membawa kepada masalah besar sekiranya berlaku kemalangan,” katanya selepas menghadiri Majlis Projek Kembali ke Sekolah anjuran Kindness Malaysia di pasar raya di Alor Mengkudu, Alor Setar hari ini.

Ismasuhaimi berkata, walaupun perkhidmatan bas dan van sekolah haram itu mengenakan bayaran tambang yang murah tetapi ia tetap menyalahi undang-undang jalan raya kerana selain insurans, pemandunya juga berkemungkinan tidak mempunyai lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV).

“Kita percaya perkhidmatan ini wujud disebabkan kurangnya penawaran perkhidmatan bas sekolah berlesen di kawasan pedalaman.

“Maka mungkin terdapat penduduk yang sanggup menawarkan untuk membawa murid dan pelajar ke sekolah namun apapun tujuannya ia tetap salah dari segi undang-undang jalan raya,” katanya.

Ismasuhaimi berkata, dalam hal itu, ibu bapa perlu mempunyai kesedaran dalam memastikan anak mereka dapat pergi dan kembali dari sekolah dengan selamat.

Sementara itu, dalam majlis berkenaan, seramai 32 anak yatim dan golongan kurang berkemampuan dibawa ke pasar raya berkenaan oleh Kindness Malaysia cawangan Kedah untuk membeli barangan kelengkapan sekolah.

Projek berkenaan dijayakan dengan kerjasama JPJ Kedah yang turut bersama membantu membelikan kelengkapan persekolahan untuk anak yatim dan golongan kurang bernasib baik.

Turut hadir, Timbalan Pengurus Kindness Malaysia Cawangan Kedah, Mohd Azrul Mohd Razak.

Disiarkan pada: December 22, 2017 @ 5:47pm
d