mutakhir

Sila tampil bantu siasatan

Oleh Mohamed Sahidi Yusof

DUA beradik antara tiga lelaki yang dikehendaki polis bagi membantu siasatan kes membakar kenderaan dan mencuri motosikal di dua lokasi berasingan di Tanah Merah, Ahad lalu.

Suspek berusia antara 21 hingga 31 tahun dipercayai masih berada di negeri ini.

Tiga lelaki yang dikehendaki polis itu ialah Muhamad Azri Ismail, Mohd Azani Ismail dan Muhamad Sahrul Wahab.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah Deputi Superintendan Suzaimi Mohamad berkata, dua beradik itu dikehendaki polis kerana disyaki terbabit dalam kejadian membakar tiga kereta di halaman rumah seorang peneroka di Felda Kemahang Tiga, pada 2.15 pagi.

"Perbuatan itu dikatakan berlaku disebabkan timbul perselisihan faham dan dendam yang berpunca daripada masalah peribadi.

"Dalam kejadian itu, tiga kereta milik mangsa iaitu Perodua Kelisa, Honda Jazz dan Honda Accord hampir hangus dibakar suspek," katanya selepas majlis Hari Keluarga Jalinan Kasih dan Kalungan Budi peringkat Ibu Pejabat Polis (IPD) Tanah Merah hari ini.

Suzaimi berkata, kecurian motosikal dipercayai membabitkan seorang lelaki di hadapan sebuah kafe Jalan Kubur, pada 11 pagi.

Katanya, kejadian itu sempat dirakamkan kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di luar premis berkenaan.

"Polis mengharapkan tiga lelaki yang dikehendaki itu segera tampil dan pada masa sama meminta orang ramai yang mempunyai maklumat terus melaporkan di balai polis berdekatan bagi membantu siasatan," katanya.

Menurutnya, kes masing-masing disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan dan 379A Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: December 22, 2017 @ 7:12pm
d