mutakhir

Lagi kes nak potong, tak lepas

Oleh Nur Syazwana Mansor

LELAKI maut selepas kereta yang dipandunya bertembung dengan bas di Batu 16, Jalan Alor Setar- Sungai Petani, Yan, hari ini.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Muhammad Halim Yatim berkata, kejadian berlaku pada 11 pagi membabitkan Proton Satria dan bas City Liner.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila bas City Liner yang dalam perjalanan dari arah Alor Setar menghala ke Sungai Petani bertembung dengan kereta dipandu Ahmad Zaki Abdullah, 21, yang datang dari arah Sungai Petani menghala ke Alor Setar.

Katanya, kereta dipandu mangsa cuba memotong kenderaan di hadapannya namun gagal sebelum bertembung dengan bas itu.

"Akibatnya, bas terbabit terbabas dan masuk ke parit di kiri jalan menghala ke Sungai Petani manakala kereta itu pula berpusing dan menghadap jalan hala ke Sungai Petani semula.

"Kereta itu remuk teruk manakala mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala," katanya.

Muhammad Halim berkata, pemandu bas berusia 31 tahun bersama lima penumpang lain tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Ujian saringan air kencing ke atas pemandu bas terbabit negatif dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Disiarkan pada: December 22, 2017 @ 7:43pm
d