mutakhir

Kebas kereta 'sakit'

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Sungai Buloh: Kumpulan penjenayah dikenali sebagai Geng Kamal Jojo dikesan aktif melarikan kereta dengan menyamar sebagai ejen penarik kenderaan.

Sindiket terbabit dikesan menyasarkan kereta tersadai lama sebagai sasaran untuk dilarikan sebelum dijual ke kedai menjual alat ganti kenderaan terpakai.

Kegiatan itu dibongkar Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh susulan penahanan dua lelaki berusia 38 dan 46 tahun.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan S Somu berkata, kedua-dua suspek ditahan di sebuah pangsapuri di Kampung Baru Subang, 14 Disember lalu.

Beliau berkata, suspek dipercayai menyamar sebagai penarik kereta sebelum mencuri kereta yang lama tersadai di tepi jalan.

“Kumpulan ini akan menjual kereta yang dicuri untuk dijadikan komponen gantian di sebuah kedai yang menjual barangan terpakai.

“Kedua-dua suspek ini dipercayai menerima arahan daripada ketua kumpulan mereka yang dikenali sebagai Kamal,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh di sini, semalam.

Somu berkata, polis kini mengesan Kamal yang melarikan diri.

“Geng Kamal Jojo dipercayai aktif sejak sebulan lalu dan menyasarkan kereta tersadai di tepi jalan untuk dicuri.

“Pemeriksaan ke atas suspek mendapati seorang daripadanya mempunyai rekod jenayah lampau kesalahan dadah,” katanya.

Katanya, polis turut menahan pemilik kedai barangan terpakai berusia 52 tahun bagi membantu siasatan.

Disiarkan pada: December 23, 2017 @ 4:37am
d