mutakhir

Ajal 2 penunggang motosikal

Oleh Mohamad Fahd Rahmat dan Essa Abu Yamin

DUA penunggang motosikal maut selepas bertembung dengan kereta di Kilometer 2 Jalan Parit Botak, Senggarang, Batu Pahat, 7.30 malam semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, mangsa dikenal pasti sebagai Muhammad Shah Aidil Sabari, 16, dan Raazi Mohamad, 20.

Katanya, kedua-duanya meninggal dunia di tempat kejadian.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila Proton Iswara dari Parit Raja, manakala Muhammad Shah Aidil dan Raazi dari arah bertentangan, iaitu pekan Parit Botak. Sampai di tempat kejadian, tiba-tiba Raazi menunggang memasuki laluan kanan lalu bertembung dengan Proton Iswara berkenaan.

"Kemudian, pemandu kereta berkenaan berusia 38 tahun cuba mengelak ke kanan tetapi bertembung dengan motosikal ditunggang Muhammad Shah," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang meninggal dunia dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk bedah siasat.

"Siasatan mendapati dua penunggang motosikal itu tidak mempunyai lesen memandu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Menurutnya, penumpang di tempat duduk belakang Proton Iswara Adam Thaqif Hairulnizamsah, 2, cedera manakala ibu dan bapanya, yang juga penumpang di hadapan dan pemandu tidak cedera.

 

 

Disiarkan pada: December 23, 2017 @ 10:00am
d