mutakhir

Rampas rokok kretek RM90,000 dalam van

Oleh Nasrawati Syarifuddin

PASUKAN Polis Marin (PPM) berjaya merampas pelbagai jenis rokok kretek bernilai RM90,000 dalam van, di Batu 5, Jalan Kinabutan, Tawau, pada 10.30 malam, semalam.

Pegawai Pemerintah PPM Wilayah 4 Tawau, Deputi Superintendan Mohd Nazri Ibrahim berkata, lima anggota Unit Risikan PPM sedang menjalankan tugas pemantauan kawasan Batu 3, Jalan Apas, terserempak dengan sebuah van berwarna putih dilihat dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, ketika anggotanya cuba mendekati van terbabit untuk membuat pemeriksaan, pemandu terus memecutkan van terbabit.

"Kita kemudian mengekori van itu sehingga ke Batu 5, Jalan Kinabutan, sebelum terbabas ke bahu jalan manakala pemandu berjaya melarikan diri.

"Hasil pemeriksaan mendapati, 25 kotak yang berisi 17,400 bungkus rokok kretek jenama Apache dan A Satu bernilai RM90,000 ditemui di dalam van terbabit," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, semua barang termasuk van dirampas dan dibawa ke Pejabat PPM Tawau untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat dibawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.

Disiarkan pada: December 23, 2017 @ 2:24pm
d