mutakhir

60 kenderaan, 360 penumpang

Oleh Hamzah Osman

PERKHIDMATAN feri membawa penumpang dan kenderaan yang pertama menghubungkan Kuala Kedah-Langkawi kini bermula apabila feri jenis Roll On Roll Off (RORO) dilancarkan, hari ini.

Perkhidmatan yang dinantikan sekian lama penduduk tempatan dan pelancong yang menggunakan laluan itu dikendalikan Dragon Star Shipping Sdn Bhd (Dragon Star Shipping)/Goldhill Reward Sdn Bhd (Goldhill Reward) menggunakan feri RORO yang dikenali sebagai 'Success'.

Sebelum ini, feri RORO hanya beroperasi menghubungkan Kuala Perlis-Langkawi yang dikendalikan tiga syarikat berlainan.

Feri 'Success' yang memikiki 65.11 meter panjang, 18 meter lebar, seberat 1,225 tan metrik dan dibangunkan di Sibu, Sarawak pada tahun lalu itu mampu membawa 60 kenderaan berserta 360 penumpang pada satu masa dengan mengambil masa kira-kira tiga jam perjalanan sejauh 57 kilometer.

Pelancaran feri berkelajuan 13 knots itu disempurnakan Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi di Dermaga Tanjung Lembung, Langkawi, di sini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah Nor Saidi Nanyan, Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia, Datuk Baharin Abdul Hamid, Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga Holding, Tan Sri Rozali Ismail, Pengerusi Eksekutif DD Plantations Sdn Bhd, Tan Sri Yee Ming Seng dan Pengarah Urusan Dragon Star Shipping/Goldhill Reward, Faizal Abdul Wahab.

Sementara itu, Faizal berkata, antara keistimewaan 'Success' adalah boleh merapat dan mendarat di pelabuhan yang berhadapan dengan isu air cetek dan arus deras seperti yang terdapat di pelabuhan Kuala Kedah.

"Insya-Allah syarikat kami komited untuk memajukan pengangkutan air dan sedang membina sebuah lagi feri jenis sama dengan sasaran beroperasi pada Mei tahun depan, sekaligus mampu meningkatkan kekerapan perjalanan Kuala Kedah-Langkawi bagi menyokong industri pelancongan Langkawi.

"Perjalanan feri 'Success' mengambil masa tiga jam sehala, manakala kadar tambang pula berbeza mengikut jenis kenderaan dan kuasa kuda serta boleh ditempah untuk perjalanan pergi-balik atau sehala," katanya.

Katanya, pihaknya menetapkan kadar tambang setiap penumpangRM23 untuk dewasa, RM17 kanak-kanak dan bayi RM10 bagi perjalanan sehala.

"Kadar tambang kereta pula katanya, ditetapkan mengikut kuasa kuda iaitu bawah 1500cc sehala RM130 (pergi-balik RM250), bawah 2000cc RM160 (pergi-balik RM300), bawah 3000cc RM200 (pergi-balik RM380) dan 3001cc ke atas RM230 (pergi-balik RM440).

"Bagi kenderaan utiliti sukan (SUV), pacuan empat roda, van persendirian dan kenderaan komersial juga ditetapkan mengikut kuasa kuda dengan kadar tambang antara RM180 dan RM600 bagi perjalanan sehala," katanya.

Disiarkan pada: December 23, 2017 @ 5:28pm
d