mutakhir

Cedera kereta langgar tapir

Oleh Ramli Ibrahim

PEMANDU wanita cedera selepas kenderaannya terlanggar tapir di Kilometer 12 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, Gua Musang, hari ini.

Ketika kejadian 4 pagi itu, mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya dari Kuala Krai Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) KESEDAR Renok Baru.

Kejadian itu juga menyebabkan tapir seberat 100 kilogram (kg) mati di lokasi kejadian.

Mangsa, Nor Faten Mazlan, 24, berkata,ketika melalui lokasi itu, tapir secara tiba-tiba melintas jalan.

Katanya, dia tidak sempat memberhentikan kereta sebelum kenderaannya terlanggar tapir berkenaan yang tercampak di tepi jalan.

"Dalam keadaan terkejut dan sakit di bahagian badan, saya keluar untuk mendapatkan pertolongan.

"Saya melihat kereta rosak di bahagian hadapan dan dengan bantuan orang ramai saya dibawa ke Hospital Gua Musang untuk rawatan," katanya.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Gua Musang, Mohd Yusalmi Mohd Yusoff berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 4.20 pagi.

Katanya, tiga anggota bergegas ke lokasi kejadian dengan sebuah ambulans dan mendapati seorang mangsa cedera,manakala tapir yang dirempuh sudah mati.

"Haiwan berkenaan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk tindakan," katanya.

Kejadian itu adalah kali pertama berlaku, katanya.

Disiarkan pada: December 24, 2017 @ 3:25pm
d