mutakhir

Tiada cadangan naikkan kadar GST

Oleh Mohd Sharumnisham Shahbudin

KERAJAAN tidak bercadang menaikkan kadar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Othman Aziz berkata, kadar enam peratus yang dikenakan pada masa kini adalah berpatutan dan relevan serta terendah dalam kalangan negara Asia dan Eropah

"Kita juga menolak bahawa GST ini menjadi punca utama kenaikan harga barang hari ini kerana kenaikan harga ini berpunca daripada pelbagai faktor seperti logistik, pengangkutan dan kadar tukaran matawang asing.

"GST ini terbukti satu landasan tepat yang dibuat kerajaan kerana akan diserahkan kembali kepada rakyat melalui pelbagai bantuan kepada semua golongan seperti nelayan, petani, penoreh dan juga kepada rakyat melalui Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M)," katanya ketika ditemui dalam Majlis Town Hall Parlimen Jerlun di Dewan Kodiang, hari ini.

Othman berkata, bantuan yang diumumkan dalam Bajet 2018 bukannya dedak seperti anggapan setengah pihak, tetapi satu dasar kerajaan dalam membantu meringankan bebanan hidup rakyat.

"Dahulu cuma nelayan dan penoreh sahaja yang menerima manfaat tetapi kali ini golongan pesawah turut menerima manfaat RM200 sebulan selama tiga bulan sementara menunggu padi dituai," katanya.

Dalam majlis yang sama, Othman turut menjadi moderator membicarakan masalah rakyat yang dikemukakan secara terus kepada ketua agensi kerajaan terbabit.

Hadir sama, Pegawai Daerah Kubang Pasu, Mohd Fisol Md Noh dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh, Datuk Abu Hasan Sarif.

Disiarkan pada: December 24, 2017 @ 8:37pm
d