mutakhir

`hantu gigil' anjur pesta rimba

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin 

 

SEPASUKAN anggota penguatkuasa Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Hulu Langat menyerbu hutan sekitar Semenyih di sini, yang dikesan menjadi sarang kumpulan penagih berpesta dadah.

Dalam serbuan bermula 4.30 pagi hingga 5 petang semalam, semua penagih yang berada di kawasan berkenaan bertempiaran lari sejurus menyedari kehadiran pihak berkuasa yang membuat serbuan.

Ketua Pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Hulu Langat Muhamad Ramlan Syed Ahamed berkata, kebanyakan penagih bertindak agresif cuba melanggar anggota AADK semata-mata mahu melarikan diri.

"Ketika serbuan, mereka sedang leka menagih dadah beramai-ramai. Bagaimanapun, kami sudah membuat persiapan rapi dan berjaya menghalang mereka melarikan diri, malah tiada anggota penguat kuasa yang cedera dalam serbuan itu.

 "Dalam serbuan itu, seramai 24 penagih berusia 23 hingga 66 tahun ditahan di lokasi di dalam hutan dengan jarak kira-kira satu kilometer dari laluan utama," katanya.

 Muhamad Ramlan berkata, semua penagih yang mahu melepaskan gian di kawasan itu perlu mempunyai kata laluan sebelum dibenarkan masuk.

 "Berdasarkan pemerhatian yang dilakukan, kami mendapati lokasi itu menjadi sarang penagih dadah melepaskan gian mereka kerana kedudukannya yang tersembunyi, selain terletak di tengah hutan serta jauh dari laluan utama.

 "Semua yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983," katanya.

 

 

 

Disiarkan pada: December 24, 2017 @ 9:48pm
d