mutakhir

Hanya 4 juta pencarum KWSP letak penama

Oleh BERNAMA

Putrajaya: Segelintir rakyat Malaysia gemar melengah-lengahkan pelbagai urusan dan sering memilih untuk menyelesaikan sesuatu perkara pada saat akhir.

Sikap berkenaan dapat dilihat saban tahun apabila tiba tarikh akhir untuk menghantar penyata cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Juga, tindakan menukar kad pengeluaran wang automatik (ATM) kepada kad debit pada saat akhir sehingga menyebabkan kesesakan di beberapa bank menjelang akhir tahun lepas.

Sikap gemar berlengah juga dipercayai salah satu faktor menyebabkan hanya empat juta daripada 14 juta pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada masa ini yang meletakkan penama bagi caruman mereka.

Perancang harta Prudential Assurance Malaysia Bhd, Nor Liza Ahmad berpandangan kesedaran masyarakat Malaysia mengenai pengurusan harta yang rendah dan kurangnya sikap melakukan segera untuk menguruskan aset menyebabkan hanya empat juta pencarum KWSP meletakkan penama masing- masing.

Semua individu termasuk pencarum KWSP perlu menganggap soal ke mana harta dan wang masing-masing disalurkan apabila mereka tiada kelak sebagai satu perkara penting.

“Semua pihak perlu sedar bahawa apabila berlaku kematian keseluruhan harta milik seseorang individu akan dibekukan sebelum dicairkan semula bagi proses pembahagian harta.

“Masyarakat Islam khususnya mempunyai banyak alternatif untuk menguruskan harta seperti wasiat, faraid, hibah, sedekah dan wakaf,” katanya ketika dihubungi.

Jelas Nor Liza, dalam hal ini terdapat hadis Nabi Muhammad SAW diriwayatkan Bukhari dan Muslim yang berbunyi: “Tinggalkan orang yang tersayang dalam kesenangan adalah lebih baik daripada tinggalkan mereka dalam keadaan meminta-minta.”

Disiarkan pada: December 25, 2017 @ 2:16am
d