mutakhir

Luahan derita Kak Chik

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: “Kak Chik tak sanggup nak tahan sakit setiap kali pergi cuci darah,” itu ungkapan yang sering dituturkan Nurhanis Mohamad, 13, kepada ibunya setiap kali menjalani hemodialisis.

Ibunya, Asmiza Mustapha, 41, berkata, anak keempat daripada lima beradik itu menderita penyakit buah pinggang kronik sejak berusia sembilan tahun.

Katanya, dia tidak menduga anaknya yang mesra disapa Kak Chik menghidap penyakit berkenaan kerana pada mulanya dia diserang sawan ketika tidur sebelum dikejarkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) selama empat hari.

“Anak saya dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan dirawat selama dua bulan. Hasil pemeriksaan, doktor pakar mengesahkan kandungan urea dalam darahnya terlalu tinggi menyebabkan dia menderita sakit buah pinggang.

“Sejak lima tahun lalu, hampir seluruh badan Kak Chik ditebuk untuk memasukkan tiub bagi rawatan itu termasuk di leher, dada dan perut,” katanya di rumahnya di Kampung Nilam Baru, di sini, semalam.

Menurutnya, anaknya menjalani rawatan Continuous Ambulatory Peritoneal Dialysis (CAPD) empat kali sehari selama tiga tahun di rumah sebelum bertukar kaedah hemodialisis di HRPZ II bermula awal tahun ini.

Katanya, sejak itu, hospital menjadi rumah keduanya dan suami, Mohamad Jaafar, 46, untuk rawatan anak mereka.

“Kedua-dua mata Kak Chik mula kabur dan mengalami masalah pendengaran selain tidak boleh berdiri terlalu lama. Sebelum ini, dia belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mulong dan awal tahun ini Kak Chik tidak lagi ke sekolah.

“Kini Kak Chik tidak boleh menulis dan membaca disebabkan masalah penglihatan selain tangannya sering menggigil kerana penyakit saraf.

“Disebabkan penyakit itu, Kak Chik beberapa kali menyuarakan kepada saya supaya menurunkan berat badan bagi proses pemindahan buah pinggang saya kepadanya dapat dijalankan segera kerana tidak sanggup lagi menanggung kesakitan,” katanya.

Katanya, buah pinggangnya sesuai didermakan kepada anaknya, namun masalah berat badan menyebabkan proses pemindahan ditangguh.

Asmiza berkata, setiap bulan dia membelanjakan RM1,000 untuk perbelanjaan anaknya termasuk kos ulang alik ke hospital.

“Sejak anak sakit, suami yang bekerja sebagai pemandu bas mengehadkan jadual perjalanan kerana perlu menghantar Kak Chik ke hospital.

“Pendapatan bulanan suami antara RM700 dan RM800 sebulan dan hanya cukup untuk rawatan Kak Chik selain belanja sekolah tiga anak lain,” katanya.

Menurutnya, dia bersyukur mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM400 sebulan dan turut mendapat bantuan segera Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) berjumlah RM2,000, baru-baru ini.

Disiarkan pada: December 25, 2017 @ 3:29am
d