mutakhir

Kantoi lumba haram

Oleh Nor Raidah Awang

LIMA lelaki termasuk seorang pelajar disyaki berlumba motosikal ditahan dalam Ops Samseng Jalanan Rempit di Jalan Kamunting-Taiping dekat Taiping, hari ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Taiping, Superintendan Razlam Ab Hamid berkata, kesemua mereka berusia 15 hingga 22 tahun ditahan ketika pihaknya sedang menjalankan operasi kira-kira 3 pagi.

“Ketika membuat pemantauan dan pemerhatian kita ternampak beberapa motosikal yang ditunggang oleh suspek berlumba sesama sendiri, menundukkan badan dan melakukan aksi 'zig zag' dari lampu isyarat berhampiran pasar raya The Store hingga ke pusingan U berhampiran dengan Masa Catering.

“Penunggang berkenaan beberapa kali melakukan pusingan dan mempamerkan aksi berbahaya kepada diri sendiri serta pengguna jalan raya yang lain,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, kesemua suspek ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping untuk tindakan selanjutnya dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tambah beliau, 25 saman turut dikeluarkan kepada pengguna jalan raya sepanjang operasi dijalankan.

Katanya, antara kesalahan yang dilakukan adalah seperti tiada lesen, cukai jalan tamat tempoh, nombor pendaftaran tidak ikut syarat, tiada cermin sisi dan motosikal diubahsuai.

Disiarkan pada: December 25, 2017 @ 1:54pm
d