mutakhir

Kayuhan amal Baitulmaqdis kumpul RM20,000

Oleh Azlan Hafeedz

SERAMAI 250 peserta kayuhan amal mengumpul dana Baitulmuqaddis menamatkan kayuhan sejauh 33 kilometer (km) sebelum memijak dan membakar bendera Israel memprotes kekejaman rejim itu terhadap rakyat Palestin.

Kayuhan Amal Selamatkan Palestin sejauh 33 kilometer itu bermula dari perkarangan Masjid Ibrahimi, Pasir Puteh ke Balai Polis Cherang Ruku, Masjid As Syakirin, Tok Bali sebelum berakhir di masjid berkenaan.

Majlis anjuran Masjid Ibrahimi, UMNO Bahagian Pasir Puteh dan Majlis Belia Jajahan Pasir Puteh (MBJPP) berjaya mengumpul dana RM21,213 dalam tempoh tiga jam menerusi sumbangan pelbagai pihak dan individu serta melebihi sasaran RM20,000.

Wang kutipan itu akan diserahkan kepada Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dalam tempoh terdekat ini.

Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh Datuk Zawawi Othman berkata, sebagai orang Islam, kesal dan sedih dengan kekejaman Zionis serta menyeru umat Islam membantah sekeras-kerasnya tindakan Israel.

“Walaupun sekadar tanda protes dengan memijak bendera Israel, namun selayaknya Israel mendapat penghinaan kerana mereka tidak sepatutnya menzalimi orang tidak berdosa,” katanya.

Sementara itu, Imam Muda Masjid Ibrahimi, Mohd Hanafiah Ab Aziz berkata, walaupun berjaya mengutip sumbangan melebihi sasaran, pihaknya akan terus melancarkan kutipan derma daripada orang ramai termasuk kariah masjid.

“Kami meminta orang ramai terus menderma membantu rakyat Palestin yang tertindas,” katanya.

Keterangan Gambar:-

1.Zawawi (tengah) bersama peserta program Kayuhan Amal Selamatkan Palestin selepas menerima replika cek berjumlah RM21,213, hari ini.

2.Zawawi dan peserta membakar bendera Israel sebagai tanda protes kekejaman rejim itu terhadap rakyat Palestin.

Disiarkan pada: December 25, 2017 @ 4:26pm
d