mutakhir

[UPDATE] Mayat wanita terjatuh jejambat ditemui

Oleh Norizuan Shamsuddin

Wanita yang terjatuh dari jejambat Cempaka Ria, Jalan Klang Lama, 7.51 pagi tadi ditemui lemas di sungai dekat Kampung Kenangan Batu 13, Puchong, 5.30 petang, hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Khiruddin Drahman berkata, mayat M Kasturi, 20, ditemui oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) melakukan operasi mencari dan menyelamat.

"Usaha mencari dan menyelamat dilakukan oleh sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai Dalam dan di bantu oleh unit PPDA serta BBP Puchong.

"Mereka membuat teknik pencarian dipermukaan air dan berjaya menemui mangsa dalam keadaan terapung dipermukaan air dilokasi terbabit dengan jarak kira-kira 20 kilometer dari lokasi kejadian.

"Mayat dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan kes diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Dalam kejadian 7.51 pagi itu, M Kasturi dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Klang ketika mangsa berada di jejambat berkenaan bersama rakannya.

Berita berkaitan:

Berkayak cari wanita jatuh jejambat

Disiarkan pada: December 25, 2017 @ 7:56pm
d