mutakhir

Itu bukan saya

Oleh Nasrawati Syarifuddin

KETUA Pergerakan Puteri UMNO Tawau, hari ini, membuat laporan polis berhubung kes yang mengaitkan dirinya dengan wanita ditahan pasukan keselamatan Indonesia kerana memiliki dadah di Pelabuhan Nusantara Pare-Pare, Sulawesi Selatan.

Nazliah Ali berkata, kenyataan yang tular di laman sosial sejak beberapa hari itu tiada kaitan dengan dirinya atau Puteri UMNO Tawau.

"Saya ingin menjelaskan bahawa wanita itu bukan Ketua Puteri UMNO Tawau atau Puteri UMNO Tawau seperti yang ditularkan menerusi media sosial.

"Saya ingin tegaskan bahawa apa pun kesalahan yang dilakukan oleh wanita itu jika terbukti oleh pihak berkuasa, ia adalah bersifat individu dan tidak seharusnya dikaitkan dengan Pergerakan Puteri UMNO atau apa juga organisasi politik yang beliau sertai," katanya.

Nazliah berkata demikian ketika ditemui selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, di Tawau, hari ini.

Beliau berkata, kenyataan yang dibuat oleh segelintir pihak di laman sosial adalah satu pembohongan dan menjatuhkan maruahnya sebagai Ketua Puteri UMNO Tawau.

"Kenyataan yang dibuat dalam media sosial seperti di Facebook dan ditularkan secara meluas sejak semalam adalah satu fitnah, pembohongan, tuduhan jahat dan tidak berasas.

"Ia jelas bertujuan untuk mengaibkan dan menjatuhkan maruah saya sebagai Ketua Puteri UMNO Bahagian Tawau dan secara tidak langsung mencemarkan imej baik Puteri UMNO Sabah khususny Puteri UMNO Malaysia pada keseluruhannya," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, laporan polis itu dilakukan bagi memudahkan pihak berkuasa melakukan siasatan dan tindakan tegas terhadap pemilik akaun terbabit.

Terdahulu, nama Ketua Pergerakan Puteri UMNO itu tular di media sosial sejak semalam, dikaitkan dengan kes seorang wanita berusia 28 tahun yang didakwa ditahan di Pelabuhan Nusantara Pare-Pare, Sulawesi Selatan, Indonesia kerana memiliki empat bungkusan berisi syabu seberat 2.3 kilogram (kg).

Disiarkan pada: December 26, 2017 @ 4:01pm
d