mutakhir

Ajal langgar belakang lori

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

PENUNGGANG motosikal maut selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 6 susur Kempas Lama, Lebuhraya Utara Selatan (arah Selatan), Johor Bahru, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 12.10 tengah hari itu, mangsa, Mohd Nor Ibram Mohamad, 30, dipercayai melanggar sebuah lori yang berhenti di bahu jalan untuk menjawab panggilan telefon.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara Superintendan Beh Eng Lai berkata, motosikal mangsa dipercayai datang dari susur Kempas Lama.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu lori Hino itu memberhentikan kenderaannya di bahu kiri susur Kempas Lama sebelum dilanggar dari belakang oleh motosikal mangsa.

"Siasatan awal mendapati pemandu lori itu memberhentikan lori di bahu jalan untuk menjawab telefon, namun belum sempat menjawab panggilan, kemalangan itu berlaku," katanya.

Beliau berkata, motosikal mangsa, Modenas Kriss remuk di bahagian depan manakala lori berkenaan rosak di bahagian lampunya.

"Kenderaan yang terbabit dalam kemalangan dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) untuk pemeriksaan.

"Mayat dihantar ke Hospital Temenggung Seri Maharaja Tun Ibrahim (HTSMTI) Kulai untuk bedah siasat," katanya.

Katanya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: December 26, 2017 @ 5:29pm
d