mutakhir

Usah terikut budaya luar dalam berkabung

Oleh Idris Musa

UMAT Islam khususnya generasi muda perlu ada jati diri dan diingatkan agar tidak mudah terikut-ikut dengan budaya luar lebih-lebih lagi terbabit dalam amalan bersifat ‘ritual’ atau upacara agama bukan Islam.

Malah setiap perkataan dan perbuatan yang tiada manfaat sama ada untuk kepentingan ukhrawi seorang Muslim ataupun kepentingan duniawinya wajar ditinggalkan agar sikap beragamanya menjadi lebih baik, kata Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Dalam penjelasan terkini Al-Kafili Al-Fatawi bertajuk 'Berkabung Atas Kematian Artis Korea', Dzulkifli berkata, pada asasnya hukum berkabung pemergian orang bukan Islam apatah lagi jika ahli keluarga dan saudara terdekat adalah harus dan dibolehkan.

Namun katanya, acara berkabung yang diisi dengan ratapan dan tangisan berlebihan adalah diharamkan dengan kesepakatan fuqaha.

"Sebagai umat Islam, kita tidak perlu terikut-ikut dengan budaya luar dalam berkabung. Islam meletakkan garis panduan dan adab yang terperinci dalam etika berkabung. Umat Islam perlu ada jati diri dan tidak mudah terikut-ikut dengan budaya bukan Islam dalam hal ini.

"Dalam masa yang sama, minat terhadap seseorang artis tidaklah memerlukan kita untuk terlalu obses sehingga meninggalkan prinsip seorang Muslim," katanya.

Beliau menjawab pertanyaan sama ada boleh atau tidak orang Islam berkabung atas kematian artis bukan Islam dengan doa, ‘candle light vigil’ (nyalaan lilin) dan nyanyian sekali gus memperjelaskan kekeliruan berkaitan isu kehadiran segelintir anak muda Islam ke majlis memperingati kematian artis K-pop, Kim Jong-hyun di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menyentuh ucapan takziah pada majlis itu, Dr Zulkifli berpandangan tiada keperluan mengucapkannya kerana tidak ada ahli keluarga, sahabat handai mahupun saudara-mara artis terbabit untuk menerima ucapan bekenaan.

"Ucapan kepada si mati itu sendiri (seolah-olah bertutur kepada si mati) adalah hal yang tidak bermanfaat dan bukan budaya Islam," katanya.

Sementara hukum mengadakan ‘candle light vigil’, beliau senada dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang memutuskan larangan menyertai aktiviti itu kerana mengandungi unsur tasyabbuh (penyerupaan) dengan agama bukan Islam yang akan menjejaskan akidah.

Berita berkaitan:

'Boleh hadir bukan ikut upacara agama mereka'

Penyanyi Shinee meninggal dunia

Disiarkan pada: December 26, 2017 @ 5:57pm
d