mutakhir

Akta AKSEM berkuatkuasa Jumaat ini

Oleh Hayati Ibrahim

AKTA Agensi Kawalan Sempadan Malaysia 2017 akan berkuatkuasa, 29 Disember ini.

Kementerian Dalam Negeri dalam satu kenyataan memaklumkan, penguatkuasaan ditetapkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang dibuat berdasarkan subseksyen 1(2) Akta Agensi Kawalan Sempadan Malaysia 2017 [Akta 799].

Menurut kenyataan itu, akta ini digubal untuk memperkemaskan tindakan kawalan dan penguatkuasaan terhadap aktiviti yang menyalahi undang-undang di sempadan darat negara.

Katanya, penggubalan akta ini juga memberi punca kuasa bagi penubuhan agensi khusus dikenali sebagai Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) yang bertanggungjawab untuk mengawal kegiatan penyeludupan atau aktiviti lain yang menyalahi undang-undang di sempadan darat negara.

"Melalui akta ini, fungsi AKSEM diperluaskan bagi melaksanakan kawalan di kawasan sempadan darat negara termasuk di Sabah dan Sarawak.

"Fungsi ini membolehkan AKSEM melaksanakan operasi sehingga ke garis persempadanan negara bagi membanteras aktiviti yang menyalahi undang-undang,"katanya hari ini.

Menurutnya, ia juga akan dapat memperkukuhkan lagi tahap kawalan keselamatan ketika ini yang dilaksanakan Pasukan Gerakan Am (PGA), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta agensi penguatkuasaan lain.

Katanya, agensi yang membentuk AKSEM membabitkan keanggotaan daripada lima agensi sedia ada iaitu PDRM, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) serta Lembaga Kenaf Dan Tembakau Negara (LKTN).

"Peruntukan dalam akta ini juga membenarkan mana-mana pegawai awam lain dilantik bagi menyertai AKSEM mengikut keperluan," katanya.

Disiarkan pada: December 26, 2017 @ 6:33pm
d