mutakhir

Ustaz Adib dibicara Februari depan [METROTV]

Oleh Nor Azura Abdul Jalil

MAHKAMAH Majistret Kajang hari ini menetapkan tarikh perbicaraan dua hari pada 6 dan 7 Februari depan bagi kes seorang ustaz yang didakwa mencederakan seorang pelajar berusia 11 tahun, Ogos lalu.

Majistret Nor Afidah Idris menetapkan tarikh itu terhadap Muhammad Adib Abd Halim, 23, selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas pihak pendakwaan menyerahkan laporan perubatan awal mangsa kepada pihak pembelaan.

Timbalan Pendakwa Raya Megat Mahathir Megat Tharih Afendi juga memaklumkan pihaknya akan memanggil tujuh saksi pendakwaan termasuk pengadu iaitu ibu mangsa, doktor dan jurufoto pada perbicaraan kes itu.

Mengikut pertuduhan, OKS yang pertama kali dihadapkan ke mahkamah pada 28 Ogos lalu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas pelajar itu dengan cara memukul dengan rotan di kaki kiri dan kanan mangsa.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah sekolah di Bandar Seri Putra, daerah Hulu Langat di sini, pada 16 Ogos lalu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu pada prosiding sebutan semalam, sebanyak enam Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) termasuk Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (Pendidik) yang diwakili Presidennya, Normala Sudirman hadir untuk memberi sokongan kepada OKS.

Ketika ditemui media di luar mahkamah, Muhammad Adib berkata, dia mahu menghabiskan kes itu dalam keadaan tenang.

"Saya minta doa daripada semua pihak supaya semua urusan dipermudahkan," katanya.

Kes ustaz itu tular di laman sosial berikutan tindakannya dikatakan merotan murid terbabit kerana enggan bersolat.

Disiarkan pada: December 26, 2017 @ 7:50pm
d