mutakhir

'Saya betul-betul tak sedar encik..' [METROTV]

Oleh Zaid Salim

PENIAGA memberi alasan mempunyai tiga kenderaan dan tidak sedar cukai jalan pacuan empat roda dipandunya sudah tamat tempoh ketika ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam Op Patuh di Stesen Penguat Kuasa (SPK) Air Sejuk di Permaisuri, hari ini.

Lelaki berusia 64 tahun itu dalam perjalanan menghantar barang di bandar Permaisuri, terkejut apabila kenderaannya ditahan anggota JPJ pada 12.15 tengah hari.

Ketika ditahan, lelaki terbabit mendakwa tidak menyedari cukai jalan kenderaannya itu tamat tempoh sejak Jun lalu kerana sibuk dengan urusan perniagaan.

"Saya ada dua lagi kenderaan dan sentiasa memastikan cukai jalan kenderaan diperbaharui. Saya betul-betul tidak menyedari cukai jalan kenderaan ini sudah tamat," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Sementara itu, Pengarah JPJ TerengganuAbdul Rahman Emang Anyie berkata, kesalahan tidak memiliki cukai jalan atau cukai jalan tamat tempoh tidak boleh dikompaun dan pesalah akan dihadapkan ke mahkamah.

Menurutnya, sejak Januari tahun ini sebanyak 30,130 saman sudah dikeluarkan JPJ di seluruh negeri itu kerana pelabagai kesalahan berbanding 27,735 pada tahun lalu.

"Didapati berlaku peningkatan sebanyak 2,325 saman iaitu 8.4 peratus dan kesalahan paling tinggi yang dilakukan pengguna jalan raya ialah tidak memiliki cukai jalan dan lesen memandu," katanya selepas mengetuai operasi berkenaan yang berakhir 2 petang.

Menurutnya, dalam Op Patuh yang dijalankan itu, sebanyak 70 notis dan saman dikeluarkan pihaknya membabitkan pelbagai kesalahan oleh pengguna jalan raya.

Disiarkan pada: December 26, 2017 @ 9:12pm
d