mutakhir

Suka menyendiri

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Petra Jaya: Pendiam dan jarang bergaul. Itu perwatakan lelaki warga Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Pakistan di Lapangan Terbang Antarabangsa Jinnah, Karachi, Pakistan, kerana menyeludup senjata api, Jumaat lalu.

Jiran lelaki terbabit yang enggan dikenali berkata, lelaki berusia 20 tahun itu kurang bergaul dengan jiran tetangga sebaliknya lebih gemar berada di dalam rumah walaupun tinggal di kawasan berkenaan sejak kecil.

Menurut wanita terbabit, lelaki berkenaan yang juga anak kedua daripada empat beradik mudah mesra jika disapa namun keluarganya sudah berpindah ke Miri sejak beberapa tahun lalu dan rumah mereka di Samariang kini didiami bapa saudaranya.

“Bila mereka sekeluarga berpindah ke Miri juga kami tidak tahu. Sepanjang mengenalinya, dia tidak menunjukkan sebarang perlakuan pelik yang terarah kepada unsur keganasan.

“Berita penahanannya yang tular di laman sosial dan disiarkan media massa begitu memeranjatkan,” katanya ketika ditemui, semalam.

Katanya, walaupun rumah lelaki terbabit didiami bapa saudaranya namun ia hanya dijenguk sesekali saja kerana mempunyai rumah lain.

“Sebagai jiran, saya sememangnya terkejut dengan penahanan lelaki terbabit dan tidak menyangka dia boleh bertindak sejauh itu,” katanya.

Tinjauan Harian Metro di rumah yang pernah didiami keluarga itu mendapati tiada ahli keluarga lelaki terbabit yang kelihatan.

Difahamkan, rumah itu kosong sejak beberapa bulan lalu dan sebelum ini dijadikan bengkel besi.

Minggu lalu, akhbar melaporkan penahanan lelaki terbabit yang cuba menyeludup keluar empat pistol, lapan kelopak peluru dan 70 peluru yang disembunyikan di dalam bagasi serta tapak kasutnya.

Portal berita tempatan negara itu The Express Tribune melaporkan lelaki terbabit menggunakan pesawat Thai Airways TG 342 penerbangan ke Bangkok, Thailand, sebelum ditahan di lapangan terbang ketika pemeriksaan dilakukan pihak berkuasa lapangan terbang.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengesahkan penahanan lelaki itu selepas pihaknya dimaklumkan pihak berkuasa Pakistan.

Disiarkan pada: December 27, 2017 @ 5:36am
d