mutakhir

Hantar penagih ke pesantren

Oleh Nor Farhani Che Ad

PENAGIH dadah yang dikenal pasti di Baling, Kedah akan dihantar jalani rawatan pemulihan di Indonesia.

Ahli Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, menerusi inisiatif itu, pihaknya bekerjasama dengan pelbagai pihak seperti Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), polis, pejabat daerah, guru dan orang ramai dalam usaha menjadikan daerah itu sebagai sifar najis dadah.

Menurutnya, pihaknya berpandangan jika penagih dihantar untuk pemulihan di dalam negara atau di tempat berhampiran dalam negeri, kemungkinan mudah untuk mereka kembali terjebak kerana terpengaruh rakan.

"Seriusnya di Baling ialah aktiviti air ketum, hidu gam dan ada dah mula masuk ke sekolah, menjual syabu semurah RM5.

"Untuk 2018, kita akan perangi musuh nombor satu negara ini secara habis-habisan di daerah ini.

"Kita akan menghantar penagih dadah yang kita kenal pasti ke pusat pemulihan di Indonesia seperti di 'pesantren' di Bandung dan Surabaya untuk proses pemulihan," katanya pada sidang media di Majlis Penyampaian Pakaian Seragam Sekolah dan Gunting Rambut Parlimen Baling di Dewan Kompleks Rakan Muda Batu 42, Pulai, hari ini.

Katanya, selepas golongan itu pulih, pihaknya akan mencari pekerjaan yang bersesuaian di daerah lain bagi mengelakkan golongan itu kembali terjebak dengan masalah penagihan dadah.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya akan menggunakan pendekatan melalui penagih bagi mengesan kumpulan pengedar dadah.

"Kita akan bersama dengan beberapa agensi terbabit membanteras tokan dadah yang berleluasa di daerah Baling.

"Mereka kebanyakannya datang dari luar, bagaimanapun mereka menggunakan penduduk Baling bagi menjalankan aktiviti mengedar dadah di sekitar daerah ini," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai AADK Baling, Ardina Ishak berkata, setakat ini 700 penagih berdaftar di bawah AADK daerah Baling.

Katanya, 80 peratus daripada jumlah itu adalah golongan belia berusia 15 hingga 40 termasuk pelajar sekolah.

Disiarkan pada: December 27, 2017 @ 4:07pm
d