mutakhir

Sampai hati, nenek pun kau samun..

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

Pasangan kekasih dipercayai menyamun seorang wanita warga emas di rumah di Kampung Sri Kaya, Bota Kiri, Bota, semalam.

Dalam kejadian 12 tengah hari itu, lelaki berusia 24 tahun bersama teman wanita berusia 19 tahun bagaimanapun berjaya ditahan di Sitiawan pada hari sama selepas polis menerima aduan berhubung kes berkenaan. 

Ketua Polis Daerah Perak Tengah Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, kejadian berlaku ketika mangsa yang berusia 82 tahun berada di halaman rumahnya sebelum didatangi kedua-dua suspek yang menunggang motosikal Honda EX5 berwarna merah.

Menurutnya, mangsa sempat menyapa suspek lelaki yang mendakwa mahu ke rumah sebelah namun kemudian mendapati suspek pergi ke bahagian kanan rumahnya.

“Suspek memanggil mangsa dan menyuruhnya menukar paip air namun ditolak mangsa dengan alasan paip itu masih elok dan baru ditukar.

“Tiba-tiba lelaki itu menyentap tangan kiri wanita berkenaan dan menarik mangsa ke belakang rumah sehingga menyebabkan mangsa terjatuh manakala mulutnya ditutup dari belakang.

“Suspek kemudian mengambil seutas gelang emas dan cincin emas yang dipakai mangsa sebelum melarikan diri dengan membonceng motosikal yang ditunggang teman wanitanya yang menunggu di halaman rumah itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, akibat kejadian itu mangsa lebam di tapak tangan kiri dan mengalami kerugian sebanyak RM9,800.

Mohamad Zainal berkata, pihaknya belum menemui barang kemas yang disamun suspek setakat ini. 

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan suspek direman hari ini sehingga 2 Januari ini,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: December 27, 2017 @ 4:09pm
d