mutakhir

Alhamdulillah...

Oleh Mohamad Zulhairie Manzaidi

NASIB bapa tunggal yang menjaga tiga anak orang kurang upaya (OKU) di Kampung Kok Keli 1, Tumpat terus mendapat perhatian pihak prihatin.

Mohd Zain Abdullah, 54, hari ini, menerima kunjungan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) diketuai Timbalan Yang Dipertuanya Dr Nik Mohd Azlan Ab Hadi.

Dia menerima sumbangan RM2,000 disampaikan Nik Mohd Azlan.

Mohd Zain bersyukur dengan pelbagai sumbangan yang diterima sejak kisahnya yang perlu membesarkan tiga anak OKU sendirian tanpa isteri, dilaporkan media, 20 Disember lalu.

"Alhamdulillah, ramai pihak yang prihatin beri sokongan dan bantuan kepada saya. Saya sangat bersyukur dan berterima kasih.

"Wang bantuan MAIK ini saya akan gunakan untuk belanja keperluan anak saya dan rumah memandangkan, buat masa ini saya tidak dapat bekerja.

"Sejak kematian isteri (Nooraini Ismail) pada 18 Disember lalu, saya terpaksa berhenti sementara kerja sebagai tukang rumah dan beri tumpuan penuh kepada tiga anak istimewa saya," katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Sementara itu, Nik Mohd Azlan berkata, sumbangan disampaikan hasil kutipan zakat pihaknya untuk meringankan beban keluarga berkenaan.

"Kita juga mempertimbangkan untuk memberi biasiswa pendidikan sebanyak RM120 kepada seorang anak Mohd Zain yang masih bersekolah di tingkatan dua.

"Namun begitu, dia perlu membuat permohonan terlebih dahulu dan kita akan beri keutamaan kepadanya," katanya.

Kisah Mohd Zain dilaporkan media selepas isterinya meninggal dunia akibat kanser payudara dan terpaksa membesarkan tiga anak OKU menghidap Cerebal Palsy, bersendirian.

Bapa tujuh anak itu hanya dibantu anak kedua, Ummi Syamirah, 25, yang berhenti kerja sebagai jurujual, manakala tiga anak lain masih bersekolah dan menuntut di institut pengajian tinggi.

Berita berkaitan

‘Terima kasih atas keprihatinan anda semua’ [METROTV]

Permudahkanlah bapa ini menjaga anaknya, Amin....

Disiarkan pada: December 27, 2017 @ 5:31pm
d