mutakhir

Pembiayaan gadaian emas RM13.8 juta

Oleh Noorazura Abdul Rahman

PROJEK Pembiayaan Produk Ar Rahnu Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional berjaya membantu menyediakan pembiayaan melalui gadaian emas lebih RM13.8 juta dengan 6,080 transaksi sejak beroperasi dari 2015 hingga Sabtu lalu.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif TEKUN Nasional, Datuk Baharom Embi berkata, jumlah itu dicatatkan menerusi empat cawangan di Shah Alam, Wangsa Maju, Semenyih dan Klang dengan nilai marhun iaitu emas yang terkumpul mencecah RM18.9juta.

"Kami menawarkan pembiayaan gadaian sehingga RM100,000 dengan margin pembiayaan sehingga 80 peratus daripada nilai marhun yang mengetengahkan elemen pembiayaan mikro pajak gadai Islam patuh syariah.

“Tujuan kami adalah untuk meningkatkan pembiayaan kepada golongan yang memerlukan tunai secara segera dengan upah simpan yang sangat rendah contohnya RM4 sebulan bagi gadaian RM600,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Ar Rahnu Tekun Nasional Cawangan Alor Setar di Jalan Sultanah Sambungan Alor Setar, hari ini.

Mengulas lanjut, Baharom berkata, skim itu juga satu usaha TEKUN Nasional menangani kekangan usahawan yang masih berhadapan dengan masalah kekurangan modal walaupun selepas mendapat mendapat pembiayaan dari TEKUN.

Selain itu, katanya Ar Rahnu TEKUN turut menawarkan perkhidmatan peti kesalamatan bagi mereka yang mahu meninggalkan barang berharga.

“Perkhidmatan ini belum kita war-warkan, bagi orang ramai yang mahu pergi menunaikan haji, umrah atau ke luar negara, mereka boleh menggunakan perkhidmatan ini dengan kos simpanan yang berpatutan tanpa ragu-ragu mengenai keselamatan barangan berharga yang dimiliki.

“Kos simpananya hanya RM0.75 bagi setiap RM100 harga barang yang disimpan, kami yakin perkhidmatan ini turut akan mendapat sambutan baik daripada pelanggan di lima cawangan kami,”katanya.

Dalam pada itu, Baharom berkata, Ar Rahnu TEKUN Nasional dijangka membuka tiga lagi cawangan di Tawau, Johor Bharu dan Kota Bharu pada Januari dan Februari depan.

Disiarkan pada: December 27, 2017 @ 7:30pm
d