mutakhir

Cubaan semak semula fatwa ditolak

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

PERMOHONAN penasihat Pertubuhan Rahmatan Lil A'lamin (Perahmat) untuk menyemak keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri yang mengeluarkan fatwa ajaran Ilmu Syahadah dan Zikir Nafas sebagai menyeleweng, ditolak Mahkamah Tinggi Syariah Seremban, hari ini.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Abu Zaky Mohammad selepas mendapati mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk menyemak keputusan dibuat jawatankuasa fatwa berkenaan.

Katanya, pemohon iaitu Ismail Kassim, 52, gagal membuktikan mahkamah mempunyai kuasa untuk membuat semakan itu.

"Mahkamah membenarkan bantahan awal yang dikemukakan oleh peguam responden dan mendapati bahawa permohonan pemohon agar Mahkamah Tinggi Syariah Seremban menyemak fatwa yang dikeluarkan pada 30 Mac lalu mengikut Seksyen 66 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Sembilan 2003 adalah ditolak.

"Pemohon juga perlu membayar kos kepada responden (Majlis Agama Islam Negeri Sembilan dan Jabatan Mufti Negeri Sembilan) yang akan ditetapkan oleh pentaksir di hadapan pentadbir mahkamah.

"Sekiranya pemohon mahu membuat rayuan, ia perlu dikemukakan kepada Jawatankuasa Fatwa Negeri itu sendiri yang mengeluarkan fatwa terbabit," katanya.

Terdahulu, Ismail yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah menangguhkan keputusan kerana perlu melantik peguam baru selepas peguam yang mewakilinya sebelum ini, menarik diri tanpa sebarang notis.

Bagaimanapun, peguam responden, Datuk Hanif Hassan membantah permohonan itu kerana pemohon sudah diberikan hak dan peluang berhujah pada 6 Disember lalu, dan hari ini adalah ditetapkan untuk mendengar keputusan mahkamah.

Harian Metro pada 7 Disember lalu melaporkan, Perahmat mengemukakan permohonan semakan berhubung Ajaran Ilmu Syahadah dan Zikir Nafas yang difatwakan menyeleweng pada Mac lalu.

Perahmat selaku pemohon bertindak mengemukakan permohonan mengikut Seksyen 66 Enakmen Pentadbiran Negeri Sembilan 2003.

Disiarkan pada: December 27, 2017 @ 8:19pm
d