mutakhir

Bahana usik meter elektrik

Oleh Mahaizura Abd Malik

MAHKAMAH Sesyen Shah Alam, hari ini, membenarkan tuntutan kerugian hasil Tenaga Nasional Berhad (TNB) berjumlah RM958,582.22 terhadap Wijaya Baru Properties Sdn Bhd berikutan pengusikan pepasangan meter elektrik di premis berkenaan.

Dalam penghakimannya, TNB selaku plaintif berjaya membuktikan terdapat kesan pengusikan pada pepasangan meter elektrik ketika kakitangan TNB melakukan pemeriksaan di premis berkenaan yang beralamat di Jalan 215, Petaling Jaya.

TNB diwakili peguam Anita Ibrahim dari Badruzzaman & Kamal yang mengemukakan writ saman pada 22 Jun 2015 manakala defendan diwakili V Varunnath dari Kumar Partnership.

Sepanjang perbicaraan berlangsung TNB mengemukakan lima saksi manakala defendan seorang saksi bagi memberi keterangan.

Perbicaraan penuh terhadap kes berkenaan diadakan lima hari pada 15,16 dan 17 Mei serta 5 dan 21 Julai lalu.

Sementara itu, Mahkamah Tinggi Alor Setar, Kedah pula menolak rayuan pengguna K Vinaba yang membuat rayuan perintah injuksi bagi menghalang TNB daripada memotong bekalan elektrik di kilang ais miliknya.

Selain itu, perayu turut memohon deklarasi bahawa notis pemotongan dikeluarkan TNB adalah terbatal dan tidak sah.

Bagaimanapun, rayuan berkenaan ditolak kerana pengguna gagal mengenepikan penghakiman Mahkamah Sesyen Sungai Petani yang sudah menolak permohonan injuksi difailkan pengguna.

Perayu diwakili peguam K V Amereson dari Tetuan Amareson & Meera manakala TNB diwakili Fathima Mohd Idris dari Tetuan Idris & Associates.

Rayuan itu dibuat selepas Mahkamah Sesyen Sungai Petani memutuskan menolak permohonan berkenaan pada 21 Oktober 2015 sebelum perayu memfailkan rayuan pada keesokannya.

Perbicaraan permohonan injuksi diadakan di Mahkamah Sesyen Sungai Petani pada 12 Ogos 2015 manakala bicara rayuan berlangsung pada 19 November lalu.

TNB berjaya membuktikan terdapat pengusikan pada pepasangan meter apabila pendawaian arus pendua S1 dan S2 bagi fasa merah dari blok terminal ujian (TTB) ke terminal meter utama dan meter semak feeder 1 terbalik menyebabkan meter tidak merekodkan bacaan sebenar.

Disiarkan pada: December 27, 2017 @ 9:51pm
d