mutakhir

Di luar tanggungjawab

Oleh Suliati Asri

Gombak: Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) tidak akan bertanggungjawab ke atas kerosakan jubin sebuah rumah di Batu 11, Jalan Gombak di sini, berikutan status rumah berkenaan dibina atas rizab hutan milik Jabatan Perhutanan.

Jurucakap SYABAS berkata, merujuk kepada surat yang dikeluarkan syarikat utiliti itu bertarikh 30 November lalu, pihaknya tidak dapat mempertimbangkan permohonan membaiki segala kerosakan jubin di hadapan rumah berkenaan akibat kejadian paip pecah pada 20 November lalu.

“Pihak SYABAS dimaklumkan Jabatan Perhutanan, tiada sebarang surat kebenaran dan dokumen sokongan diberikan kepada mana-mana pihak menduduki atau membina sebarang struktur bangunan kekal di atas tanah tersebut.

“Selain itu, pemohon juga gagal mengemukakan dokumen sokongan kebenaran menduduki tanah itu dari pihak berwajib.

“Pembinaan di atas jajaran paip juga adalah berisiko tinggi kerana tekanan air di dalam paip adalah tinggi serta boleh mengakibatkan kehilangan nyawa sekiranya berlakunya paip pecah,” katanya dalam maklum balas terhadap permohonan yang diberikan pemilik rumah Aizuddin Hakim Mohd Yusof, 30.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan saluran paip di bahagian depan rumah Aizuddin Hakim pecah menyebabkan lantai, tembok serta tiang rumahnya mengalami kerosakan.

Kejadian itu menyebabkan kebanyakan barang diperbuat menggunakan kayu seperti almari, kabinet, meja dan kerusi rosak terkena air manakala rumahnya tidak dapat diduduki ketika ini.

Aizuddin Hakim juga terpaksa menumpang di rumah saudara-mara lebih sebulan berikutan rumahnya itu tidak selamat untuk diduduki sehingga kerja pemulihan dilakukan.

Sementara itu, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia Senator Datuk Megat Zulkarnain Omardin ketika ditemui di rumah Aizuddin Hakim semalam meminta supaya kerajaan Selangor prihatin terhadap masalah yang dihadapi penghuni berkenaan.

Disiarkan pada: December 28, 2017 @ 5:27am
d