mutakhir

'Ramai berhati mulia'

Oleh Mohamad Zulhairie Manzaidi

Tumpat: Nasib seorang bapa tunggal yang terpaksa menjaga tiga anak orang kurang upaya (OKU) di Kampung Kok Keli 1 di sini, terus mendapat perhatian pihak yang prihatin.

Terbaru, Mohd Zain Abdullah, 54, menerima kunjungan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) diketuai Timbalan Yang Dipertuanya, Dr Nik Mohd Azlan Ab Hadi yang memberikan sumbangan RM2,000.

Mohd Zain ketika ditemui berkata, dia bersyukur dengan pelbagai sumbangan diterima sejak kisahnya yang perlu membesarkan tiga anak OKU bersendirian tanpa isteri selepas dilaporkan media pada 20 Disember lalu.

“Alhamdulillah, banyak pihak prihatin memberikan sokongan dan bantuan kepada saya. Saya bersyukur dan berterima kasih. Wang bantuan MAIK akan digunakan untuk keperluan anak dan rumah memandangkan buat masa ini saya tidak dapat bekerja.

“Sejak kematian isteri (Nooraini Ismail) pada 18 Disember lalu, saya berhenti sementara sebagai tukang rumah untuk memberi tumpuan penuh kepada tiga anak istimewa saya,” katanya ditemui di rumahnya, semalam.

Sementara itu, Dr Nik Mohd Azlan berkata, sumbangan disampaikan itu hasil kutipan zakat bagi membantu meringankan beban keluarga berkenaan.

“Kami menimbangkan untuk memberi biasiswa pendidikan RM120 kepada seorang anak Mohd Zain yang masih bersekolah dalam tingkatan dua. Bagaimanapun, dia perlu membuat permohonan terlebih dulu dan kami memberikan keutamaan,” katanya.

Kisah Mohd Zain disiarkan media selepas isterinya meninggal dunia akibat barah payu dara menyebabkan lelaki berkenaan membesarkan tiga anak OKU yang menghidap cerebral palsy bersendirian.

Bapa tujuh anak itu hanya dibantu anak kedua, Ummi Syamirah, 25, yang berhenti kerja sebagai jurujual, manakala tiga anak lain masih bersekolah dan menuntut di institusi pengajian tinggi.

Disiarkan pada: December 28, 2017 @ 5:49am
d