mutakhir

Empat remaja bawa pedang heret keranda

Oleh HM Digital

Tawau: Pengguna jalan raya di daerah ini digemparkan dengan kehadiran sebuah keranda misteri dipercayai ditinggalkan di tepi jalan Batu 4, Jalan Apas, sejak beberapa hari lalu.

Seorang pengguna jalan raya, Sainal Sarsan, 28, mendakwa, dia menyedari kehadiran keranda itu pada Isnin lalu ketika dalam perjalanan dari Semporna ke Tawau.

Sainal mendakwa melihat empat lelaki dipercayai remaja memakai topeng dan seorang daripada mereka membawa pedang samurai.

“Saya memandu lori membawa muatan ikan dan melalui jalan itu menuju ke Batu 4 pada jam 1 pagi. Sebaik tiba di lokasi, saya terlihat empat remaja lelaki bertopeng mengheret keranda itu ke tengah jalan raya,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Dakwanya lagi, terkejut dengan kejadian itu, dia gagal mengelak dan menyebabkan kenderaannya melanggar keranda itu manakala empat remaja itu melarikan diri.

Sainal mendakwa, dia memberhentikan kenderaannya dan pada masa sama sebuah Perodua Myvi yang melalui kawasan itu turut berhenti membantunya mengalihkan keranda ke tepi jalan.

“Selepas diperiksa keranda itu kosong dan ia dialihkan bagi mengelak kejadian buruk,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, pihaknya akan menyiasat individu yang meletakkan keranda itu di tepi jalan.

Disiarkan pada: December 28, 2017 @ 5:59am
d