mutakhir

Permohonan Perahmat ditolak

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Seremban: Permohonan penasihat Pertubuhan Rahmatan Lil A’lamin (Perahmat) untuk menyemak keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri yang menfatwakan ajaran Ilmu Syahadah dan Zikir Nafas sebagai menyeleweng, ditolak Mahkamah Tinggi Syariah di sini, semalam.

Keputusan itu dibuat Hakim Abu Zaky Mohammad, selepas mendapati mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa menyemak keputusan dibuat jawatankuasa fatwa itu.

Katanya, pemohon iaitu Ismail Kassim, 52, gagal membuktikan mahkamah mempunyai kuasa membuat semakan itu.

“Mahkamah membenarkan bantahan awal yang dikemukakan peguam responden dan mendapati permohonan pemohon Mahkamah Tinggi Syariah Seremban menyemak fatwa dikeluarkan pada 30 Mac lalu mengikut Seksyen 66 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Sembilan 2003 adalah ditolak.

“Pemohon perlu membayar kos kepada responden (Majlis Agama Islam Negeri Sembilan dan Jabatan Mufti Negeri Sembilan) yang akan ditetapkan pentaksir di hadapan pentadbir mahkamah.

“Sekiranya pemohon mahu membuat rayuan, ia perlu dikemukakan kepada Jawatankuasa Fatwa Negeri itu sendiri yang mengeluarkan fatwa terbabit,” katanya.

Terdahulu, Ismail yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah menangguhkan keputusan kerana perlu melantik peguam baru selepas peguam yang mewakilinya sebelum ini, menarik diri tanpa notis.

Bagaimanapun, peguam responden, Datuk Hanif Hassan membantah permohonan itu kerana pemohon diberikan hak dan peluang berhujah pada 6 Disember lalu dan semalam adalah ditetapkan untuk mendengar keputusan mahkamah.

Harian Metro pada 7 Disember lalu melaporkan, Perahmat mengemukakan permohonan semakan berhubung Ajaran Ilmu Syahadah dan Zikir Nafas yang difatwakan menyeleweng pada Mac lalu.

Perahmat selaku pemohon mengemukakan permohonan mengikut Seksyen 66 Enakmen Pentadbiran Negeri Sembilan 2003.

Disiarkan pada: December 28, 2017 @ 6:26am
d