mutakhir

Tingkatkan tahap aktif sukan

Oleh Rosliza Mohamed

PEGAWAI dan anggota polis di Kelantan digalak aktif bersukan bagi meningkatkan stamina diri dan beri lebih keyakinan dalam perkhidmatan.

Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan berkata, aktif dalam apa-apa acara sukan bukan sekadar untuk menggilap bakat, sebaliknya membantu dalam perkembangan kerjaya mereka.

“Tahun ini pertama kali diadakan Anugerah Sukan PDRM Kelantan dan pertandingan ini menguji stamina pegawai dan anggota mengikut kemampuan masing-masing.

“Ini adalah satu penghargaan, bukan saja boleh menggilap bakat sukan anda tetapi, badan yang sihat sudah tentu beri keyakinan tinggi untuk kita berkhidmat dengan lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Malam Anugerah Sukan PDRM Kontinjen Kelantan 2017 di Kota Bharu, malam tadi.

Hadir sama Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Din Ahmad.

Hasanuddin turut memberi galakan kepada kontinjen untuk mempamer aksi sukan cemerlang dalam memburu Piala Ketua Polis Negara yang dipertandingkan setiap tahun.

Katanya, tahap aktif sukan kontinjen itu masih sederhana, dan perlu ditingkatkan mulai bulan depan.

Terdahulu, beliau menyampaikan anugerah kepada pemenang dengan Olahragawan dimenangi Inspektor Abdullah Hadi Abdullah Sani, manakala Olahragawati oleh Lan Koperal Farah Mohd Johari George, masing-masing dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu.

Pasukan Olahraga pula diumumkan sebagai Pasukan Terbaik Keseluruhan menewaskan beberapa pasukan lain termasuk karom dan tenpin bowling.

Menurut jurulatih pasukan itu, Koperal Mohamad Haziri Bolhi, latihan sistematik dan stamina adalah kekuatan pasukan itu yang mendorong kejayaan 21 ahlinya.

“Kami juga mengutamakan semangat berpasukan dalam memburu kejayaan bagi setiap acara diikuti seperti larian, lontar peluru dan lompat tinggi.

“Alhamdulillah rezeki kami apabila diumum Pasukan Terbaik Sukan PDRM Kontinjen Kelantan,” katanya.

Disiarkan pada: December 28, 2017 @ 11:12am
d