mutakhir

'Tolong pulangkan Adam...'

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

Jempol: “Tolonglah pulangkan anak saya. Saya terlalu merinduinya,” rayu wanita warga Thailand, Alice Jarong, 28, yang kehilangan anak keduanya Alif Hiransumton berusia empat tahun sejak dua tahun lalu.

Alice yang berasal dari Pattani mendakwa anaknya yang dipanggil Adam pernah dijaga bekas pekerja restoran milik ibunya yang juga warga tempatan, sebelum wanita itu meng
hilangkan diri bersama Adam.

Menurutnya, wanita berusia 40-an terbabit bekerja di restoran milik ibunya di Bandar Baru Serting di sini, pada 2014 dan amat rapat dengan keluarga mereka ketika itu.

“Saya membawa Adam ke Jempol ketika berusia tujuh bulan kerana perlu membantu ibu menguruskan restoran. Saya berkenalan dengan pekerja wanita itu dan kami menjadi rapat kerana dia amat sayangkan Adam serta kerap membawa Adam pulang ke rumahnya selepas habis bekerja.

“Setahun kemudian, saya terpaksa pulang ke Pattani kerana anak sulung saya mula bersekolah dan meninggalkan Adam di bawah jagaan ibu. Wanita itu kemudian meminta kebenaran untuk menjaga Adam dan saya mengizinkannya kerana dia sering membawa anak ke restoran ibu setiap hari.

“Bagaimanapun, keadaan berubah apabila ibu memberitahu mahu menutup perniagaannya sebelum wanita itu menghilangkan diri bersama anak saya pada April tahun lalu,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurut Alice, pelbagai usaha dilakukan untuk mencari wanita itu dan anaknya termasuk membuat hebahan di laman sosial Facebook serta mengunjungi rumah keluarga wanita itu di Kedah, tetapi gagal.

Katanya, hasil bantuan kenalan di Facebook, dia akhirnya memperoleh nombor telefon wanita itu dan menghubunginya pada Khamis lalu merayu supaya memulangkan semula anaknya.

“Wanita itu berjanji berjumpa dan memulangkan anak saya di Jempol pada Sabtu lalu. Malangnya, dia tidak tiba seperti dijanjikan, malah mematikan talian telefonnya,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Bandar Seri Jempol, di sini, semalam.

Alice merayu kepada orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Adam atau wanita terbabit yang dipercayai masih berada di sekitar daerah ini, supaya menghubunginya di talian 017-4100539 atau 016-4448103.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim mengesahkan menerima laporan dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Disiarkan pada: December 28, 2017 @ 11:25am
d