mutakhir

Mudah kawal kenderaan asing

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

KEDUDUKAN strategik pemeriksaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam yang baru memudahkan pengawalan pergerakan kenderaan asing yang tidak mematuhi permit edaran antarabangsa (ICP).

Pengarah JPJ Kedah Isma Suhaimi Sharif berkata, penguatkuasaan aliran keluar masuk kenderaan asing menunjukkan perkembangan yang positif sejak ICQS baru itu yang mula beroperasi sejak November lalu apabila pihaknya dapat mengelakkan pelanggaran undang-undang jalan raya.

Menurutnya, ICQS baru ini mampu memperkasakan keupayaan JPJ apabila diletakkan pada kedudukan strategik membabitkan pengaliran keluar masuk kenderaan asing terutama Thailand yang tidak mematuhi peraturan negara ini.

“JPJ juga berterima kasih kepada Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri yang tegas mahukan penguatkuasaan lebih serius membabitkan pengaliran keluar masuk kenderaan Thailand bagi mengelak masalah di kemudian hari terutama di jalan raya,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Kempen Keselamatan Jalan Raya anjuran JPJ Kedah bersama pengeluar bateri kenderaan, Koyoko di Pejabat JPJ negeri, Alor Setar hari ini.

Mengulas mengenai pelaksanaan permit kemasukan kenderaan (VEP), Isma Suhaimi berkata, pihaknya yakin ia dapat mengawal secara serius aliran trafik di sempadan negara berbanding ICP selepas ia dilaksana kelak.

“Pelaksanaan VEP kelak akan dilakukan secara automatik yang menyaksikan ICP dimansuhkan sehingga membolehkan penguatkuasaan lebih serius dilakukan.

“Selain itu, kenderaan asing yang ingin masuk ke negara ini juga perlu mematuhi undang-undang di sini dan jika tidak memenuhi peraturan ditetapkan tidak akan dibenarkan masuk,” katanya.

ICQS Bukit Kayu Hitam baru bermula 1 November lalu dan akan dibuka sepenuhnya 24 jam bermula 1 Januari 2019.

Ia mempunyai Kompleks Kenderaan Ringan (KKR) dan Kompleks Kenderaan Berat (KKB) yang mempertingkatkan keupayaan memberi kemudahan selain dilengkapi pelbagai kemudahan aplikasi penguatkuasaan seperti mesin pengimbas kargo, jambatan timbang, pusat kuarantin haiwan dan tanaman.

Disiarkan pada: December 28, 2017 @ 1:36pm
d