mutakhir

Sambut murid di alam fantasi [METROTV]

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

GURU di Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 11 (2) mencipta kelainan apabila mengenakan pakaian ala alam fantasi bagi menyambut murid tahun satu dan prasekolah pada Hari Orientasi dan Pendaftaran Murid Prasekolah dan Tahun Satu, hari ini.

Lebih menarik, Guru Besar Nor Aizah Ismail sendiri mengenakan pakaian ala ahli sihir manakala beberapa guru lain berpakaian seperti sang puteri.

Kelainan yang dibawa itu bukan saja menarik perhatian 320 murid tahun satu sebaliknya ibu bapa yang hadir mendaftarkan anak masing-masing.

Nor Aizah berkata, beliau bersama barisan guru lain mengambil pendekatan kreatif terbabit bagi membangkitkan suasana ceria dan rasa seronok kepada pelajar baru yang bakal memasuki alam persekolahan.

“Pendekatan itu dilaksanakan sejak dua tahun lalu dengan konsep pakaian berlainan pada setiap tahun. Kami akan meneruskan tradisi berkenaan pada tahun akan datang bagi meraikan pelajar baru,” katanya.

Katanya, pihaknya ingin mewujudkan suasana ceria supaya mereka seronok hadir ke sekolah.

Sementara itu, murid tahun satu SKPP 11(2), Azfa Amir Kushairi,7, gembira dan langsung tidak takut selain tidak mempunyai masalah untuk bangun pagi ke sekolah.

“Sebelum ini sudah biasa ke tadika setiap pagi, jadi tiada masalah bangun pagi dan saya sangat seronok berjumpa dengan rakan baru," katanya.

Disiarkan pada: December 28, 2017 @ 2:07pm
d