mutakhir

Polis khianat amanah

Oleh Farah Suhaidah Othman

EMPAT lelaki termasuk seorang pegawai dan dua anggota polis ditahan dipercayai terbabit dalam kegiatan samun sehingga membabitkan kerugian RM12,300 di sebuah rumah di Kampung Rapat, Ipoh awal pagi semalam.

Dalam kejadian 2 pagi itu, pegawai polis berpangkat Inspektor berusia 43 tahun manakala dua lagi anggota berpangkat Lans Koperal masing-masing berusia 27 dan 35 tahun ditahan di lokasi berasingan di sekitar bandar ini.

Turut ditahan, seorang penganggur berusia 32 tahun.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh Superintendan Abdul Rani Alias berkata, mangsa berusia 54 tahun bersama dua anaknya didatangi lelaki yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) mengakui diri mereka anggota polis sebelum memanjat pagar rumah mangsa.

Katanya, semua suspek dipercayai mengugut dengan meminta wang daripada mangsa supaya dilepaskan daripada dibawa ke balai polis selepas dikatakan menemui barang dipercayai dadah di rumah itu.

Beliau berkata, suspek menyamun mangsa membabitkan wang tunai berjumlah RM12,300.

“Susulan kejadian itu, mangsa membuat laporan sebelum polis bertindak menahan seorang lelaki di tepi Jalan Tun Sambanthan pada 12 tengah hari manakala tiga lagi di sekitar bandar ini kira-kira tiga jam kemudian.

“Ujian saringan air kencing mendapati anggota polis berusia 27 tahun dan penganggur positif dadah jenis methamphetamine manakala dua lagi negatif dadah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Abdul Rani berkata, dalam penahanan itu, polis turut merampas wang RM1,500 daripada tiga suspek serta MPV dipercayai digunakan untuk menyamun.

Beliau berkata, pihaknya memburu dua lagi suspek termasuk seorang anggota polis yang masih bebas dipercayai turut terbabit dalam kegiatan itu.

“Semua suspek yang ditahan direman enam hari bermula hari ini hingga Selasa ini untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana terbabit dalam kegiatan samun berkawan tanpa senjata api,” katanya.

Disiarkan pada: December 28, 2017 @ 5:43pm
d