mutakhir

Indeks jenayah Perak Tengah turun

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

POLIS Daerah Perak Tengah berjaya menurunkan 33.33 peratus indeks jenayah hasil operasi berterusan membanteras kegiatan dadah yang dipercayai menjadi punca utama berlakunya kegiatan jenayah di daerah itu.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, peratusan indeks jenayah di kawasan itu menurun selepas pihaknya berjaya menangkap penagih-penagih yang dipercayai menjadi punca berlakunya kegiatan itu.

Katanya, peratusan indeks jenayah menurun selepas peratusan tangkapan membabitkan kes dadah di daerah itu meningkat sebanyak 40.06 peratus berbanding tahun sebelum ini.

Menurutnya, statistik sehingga Isnin lalu menunjukkan sebanyak 138 kes membabitkan pelbagai kegiatan jenayah dicatatkan dan jumlah itu menurun berbanding 207 kes pada 2016 sekaligus menunjukkan hasil operasi berterusan yang dijalankan.

"Jenayah kekerasan yang dicatatkan pada tahun ini sebanyak 23 kes sedikit meningkat berbanding tahun lalu iaitu sebanyak 20 kes namun jumlah kes jenayah harta benda menurun daripada 187 kes kepada 115 kes tahun ini.

"Penurunan ini disebabkan kita berjaya membanteras kegiatan dadah di daerah ini dengan tertangkapnya 926 penagih berbanding 555 penagih tahun sebelumnya," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Mohd Zainal berkata, 2018 pula akan menjadi cabaran lebih besar kepada polis daerah berkenaan untuk terus menurunkan indeks jenayah dengan meningkatkan pelbagai operasi demi memastikan keselamatan masyarakat.

"Saya berharap masyarakat akan terus memberikan kerjasama kepada polis khususnya dalam menyalurkan maklumat aktiviti pengedaran dan penagihan dadah kerana ia akan membantu mengurangkan indeks jenayah di daerah ini," katanya.

Disiarkan pada: December 28, 2017 @ 6:36pm
d