mutakhir

Dituduh pecah amanah

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

JURUJUAL dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar atas empat pertuduhan melakukan pecah amanah wang tunai milik bekas majikannya berjumlah RM33,500.

Tertuduh, Mohd Nor Azlan Ali, 44, dari Jalan Masjid Lama, Mukim Kuah, Langkawi bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus dibacakan pertuduhan oleh jurubahasa mahkamah.

Dia dituduh melakukan semua kesalahan itu di Surya Resources Sdn Bhd Cawangan Langkawi, di Langkawi Mall, dua tahun lalu pada tarikh berbeza.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dipenjara minimum setahun dan maksimum 14 tahun dan sebatan serta denda.

Pada prosiding di hadapan Hakim Najwa Che Mat, tertuduh sebagai jurujual syarikat didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah membabitkan wang kutipan berjumlah RM22,000.

Kesalahan itu dilakukan pada 9 Mac, 30 Mac dan 10 Mei 2015.

Timbalan Pendakwa Raya Rehab Abdul Shukur mencadangkan jaminan RM50,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan, namun tertuduh merayu dikurangkan kerana hanya bekerja di kedai makan dengan gaji harian.

Mohd Nor Azlan berkata, dia perlu menanggung isteri dan tiga anak masih bersekolah.

Hakim kemudian menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen berasingan, tertuduh turut tidak mengaku bersalah melakukan pecah amanah wang RM11,500 pada 13 Julai 2015.

Timbalan Pendakwa Raya Eliana Ismail mencadangkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin.

Hakim Zulhazmi Abdullah bagaimanapun menetapkan jaminan RM3,000 selepas menimbangkan rayuan tertuduh.

Kes ditetapkan untuk sebutan lantikan peguam pada 29 Januari depan.

Disiarkan pada: December 28, 2017 @ 7:02pm
d