mutakhir

Belajar khat secara percuma

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

BAGI memartabatkan seni khat, Galeri Khat dan Grafik (GKG) Kelantan menyediakan latihan secara percuma kepada mana-mana pihak yang mahu mempelajari kaligrafi Islam itu.

Pengurus Besar GKG Nik Abd Rahman Zaki Nik Abdul Kadir berkata, pihaknya turut mencadangkan kepada Jabatan Pembangunan Kemahiran supaya kursus seni khat diwujudkan agar pelajar mengikutinya layak menerima Sijil Kemahiran Malaysia.

Katanya, cadangan itu sudah dikemukakan dan masih menunggu maklum balas daripada pihak berkenaan.

"Modul khat tidak mudah untuk dirangkumkan kerana ia memerlukan mereka yang betul-betul pakar dalam seni kaligrafi untuk menyusunnya.

"Apabila kami mencadangkan supaya kursus ini dibuat, ia untuk kebaikan pencinta khat dan kaligrafi malah memberi peluang pelajar mengikutinya diberi Sijil Kemahiran.

"Dalam masa sama, ia juga dapat menarik lebih ramai orang untuk mengetahui secara mendalam seni khat ini," katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Dewan Galeri Khat dan Grafik di Jalan Merican, Kota Bharu, hari ini.

Majlis dirasmikan Pengarah Perbadanan Muzium Negeri Kelantan, Nazwan Ismail.

Nik Abd Rahman Zaki berkata, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) sebelum ini juga menyediakan zakat pendidikan kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berkelayakan untuk kursus itu.

Dalam pada itu, galeri berkenaan sudah dibuka kepada umum, dua tahun lalu dan sudah melahirkan kira-kira 200 penulis kaligrafi khat dari pelbagai negara termasuk Singapura dan Thailand.

"Kami menyediakan latihan percuma kepada mana-mana individu yang berminat dalam usaha mengembangkan khat sekali gus platform baik untuk berdakwah dalam Islam," katanya.

Sementara itu, Nazwan berkata, seni khat yang berteraskan kitab suci al-Quran dan warisan karyawan Islam sentiasa diberi perhatian pihaknya dan dijadikan acara tahunan menerusi Pameran Khat.

Katanya, ia sesuai dengan dasar kerajaan negeri yang mengutamakan dasar Membangun Bersama Islam, dan mengalu-alukan mana-mana pihak yang mewujudkan galeri dan latihan bagi tujuan ini.

"Kita sentiasa beri sokongan kerana dengan adanya galeri ini akan merancakkan lagi perkembangan seni kaligrafi dan khat di Kelantan," katanya.

Disiarkan pada: December 28, 2017 @ 9:07pm
d