mutakhir

Cubaan seludup rokok putih gagal

Oleh Norizzah Baharudin

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim 5 (DM5) Kuala Linggi, menumpaskan cubaan menyeludup rokok putih bernilai RM142,500 di perairan Kuala Sepang, pagi tadi.

Dalam kejadian 6.30 pagi itu, sepasukan anggota APMM yang sedang menjalankan rondaan rutin di perairan berkenaan terserempak dengan bot gentian kaca dalam keadaan mencurigakan pada kedudukan 0.8 batu nautika timur dari Stesen Janakuasa Jimah.

Timbalan Pengarah Logistik APMM DM5, Leftenan Komander Maritim Eizanizam Muhammad Eng berkata, melihat keadaan mencurigakan itu, APMM kemudian cuba merapati bot berkenaan dan kelihatan beberapa individu sedang melakukan kerja pemunggahan selain terdapat dua lori berada di daratan.

Beliau berkata, sejurus menyedari kehadiran anggota penguat kuasa, kesemua individu terbabit bertindak terjun ke pesisir perairan lalu melarikan diri.

"Hasil pemeriksaan, kami menemui sebanyak 15 kotak mengandungi rokok putih jenama John disyaki diseludup masuk dari negara jiran.

"Selain rokok seludup, bot dan enjin jenis Yamaha turut dirampas selain kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967.

Disiarkan pada: December 28, 2017 @ 9:32pm
d