mutakhir

Berbaloi tunggu teratai mekar

Oleh HM Digital

Shah Alam: Foto Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong pada waktu senja yang diambil bersama pemandangan tasik tiga tahun lalu membawa tuah kepada jurutera elektrik, Lim Su Sen, 43.

Foto berkenaan dipilih sebagai johan Pertandingan Fotografi Sayangi Shah Alam anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sekali gus membolehkan Lim membawa pulang RM5,000 serta sijil penghargaan.

Lim berkata, dia menunggu tiga bulan untuk bunga teratai di tasik berhampiran masjid itu mekar sebelum merakam fotonya.

“Bagi mendapatkan sudut yang menarik, saya turun ke tasik selain bersabar kerana mahu memastikan teratai mekar.

“Usaha itu berjaya dan saya gembira kerana gambar dipilih memenangi pertandingan ini,” katanya pada majlis penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan di Wisma MBSA di sini, kelmarin.

Sepuluh pemenang dipilih daripada 453 peserta yang mengambil bahagian dan hadiah disampaikan Datuk Bandar Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad.

Tempat kedua milik Ahmad Nazran Ashari yang menerima RM3,000 serta sijil penghargaan dengan fotonya yang bertajuk Merpati Keriangan Di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah manakala tempat ketiga milik Amalina Wan Mohd Nur yang menerima RM1,000 serta sijil dengan gambar bertajuk Satu Pagi Yang Damai.

Disiarkan pada: December 29, 2017 @ 4:51am
d