mutakhir

Bantu suami bisnes ketum

Oleh Mohd Hasbi Sidek

Kuala Lumpur: Bantu suami jual air ketum pada harga RM20 sebotol. Itu pengakuan wanita berusia 46 tahun ketika ditahan polis di rumahnya di Jalan Wirawati 5, Taman Maluri , petang Selasa lalu.

Pada serbuan jam 7 malam, polis menemui 70 botol air ketum disimpan dalam tong bernilai RM1,400.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, terdahulu pihaknya menahan seorang lelaki di depan rumah terbabit bersama tiga botol air ketum.

“Lelaki berusia 44 tahun itu dipercayai pelanggan wanita terbabit.

“Anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju kemudian menyerbu rumah itu,” katanya, semalam.

Menurut beliau, setiap botol air ketum itu berisi 1.5 liter dan pihaknya turut merampas wang RM420.70 hasil jualan air ketum.

“Kedua-dua suspek tiada rekod jenayah lampau dan ujian air kencing juga menunjukkan keputusan negatif.

“Suspek wanita itu mengaku air ketum terbabit milik suaminya dan dia hanya membantu menjualnya,” katanya.

Disiarkan pada: December 29, 2017 @ 5:32am
d