mutakhir

Penumpang Uber parah

Oleh Nur Saliawati Salberi

Melaka: Seorang penumpang wanita yang menggunakan perkhidmatan Uber parah selepas Perodua Myvi dinaikinya bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda Ford Ranger di Jalan Semabok, kelmarin.

Menurut sumber, kemalangan pada jam 2.28 pagi itu menyebabkan mangsa Sariah Jasmin, 31, parah di kepala serta muka dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka.

Difahamkan ketika kejadian Perodua Myvi terbabit dipandu lelaki berusia 32 tahun dari arah Melaka Raya menghala ke Semabok, dipercayai untuk menghantar mangsa pulang ke rumahnya.

“Ketika sampai di lokasi, Ford Ranger dipandu lelaki berusia 44 tahun datang dari arah bertentangan tiba-tiba hilang kawalan lalu memasuki laluan bersebelahan dan bertembung dengan Perodua Myvi dinaiki mangsa. Kemalangan turut menyebabkan Perodua Myvi itu terbalik,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad, ketika dihubungi mengesahkan pihaknya sudah menerima laporan berhubung kemalangan membabitkan kedua-dua kenderaan itu.

“Ketika kejadian, mangsa berada di tempat duduk penumpang belakang dan setakat ini dia belum sedarkan diri serta masih ditempatkan di wad ICU. Pegawai perubatan sedang memantau perkembangannya.

“Manakala pemandu Perodua Myvi berkenaan pula mengalami luka di muka dan dia dirawat di Zon Kuning Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Melaka. Pemandu Ford Ranger pula tidak cedera,” katanya.

Afzanizar berkata, pihaknya kini sedang berusaha mengesan waris wanita itu dan meminta mana-mana pihak mengenali waris atau rakan mangsa supaya tampil segera ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

Menurutnya, saksi kejadian juga diminta tampil atau berhubung dengan pegawai penyiasat Inspektor Ahmad Rezuan Mohd Sukemi bagi membantu siasatan.

Disiarkan pada: December 29, 2017 @ 8:34am
d