mutakhir

Penyamun lapar

Oleh Mohd Hasbi Sidek

Gombak: Dua penjenayah sempat menjamu makanan dan minuman sebelum melarikan barangan berharga selepas memecah masuk sebuah rumah di Jalan 6, Taman Batu Caves jam 4.30 pagi, Selasa lalu.

Sebelum melarikan diri, penjenayah turut memusnahkan kamera litar tertutup (CCTV) di rumah itu namun pergerakan mereka dirakam CCTV kediaman jiran mangsa.

Pemilik rumah, Ishak Samsudin berkata, dia ke Kuantan, Pahang pada Sabtu lalu sebelum pulang jam 3 petang Selasa lalu.

“Tiba di rumah, saya dapati ada kesan umpil pada pintu malah pemeriksaan mendapati kediaman berselerak.

“Penjenayah melarikan barang kemas isteri serta tiga tabung penuh syiling dengan jumlah keseluruhan kerugian RM5,000.

“Saya turut dapati penjenayah memakan biskut, buah-buahan selain meminum jus dalam peti ais,” katanya, semalam.

Menurut Ishak, dia kemudian ke rumah jiran untuk melihat rakaman CCTV dan mendapati dua lelaki terbabit memecah masuk kediamannya jam 4.30 pagi Selasa lalu dengan memanjat pagar sebelum keluar jam 5.40 pagi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Ali Ahmad berkata, pihaknya sudah menerima laporan mengenai kejadian terbabit.

Disiarkan pada: December 29, 2017 @ 8:47am
d