mutakhir

Jurufoto sambilan NSTP meninggal dunia

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

JURUFOTO sambilan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) Biro Melaka, Muhammad Hatim Abd Manan meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada paru-paru dan hati di Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru, hari ini.

Muhammad Hatim, 29, menghembuskan nafas terakhirnya di sisi bapanya, Abd Manan Zainudin dan ibunya, Mastura Ahmad, 8.40 pagi tadi.

Menurut Abd Manan, Muhammad Hatim mula dimasukkan ke hospital di Batu Pahat, 6 Disember lalu sebelum dipindahkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru dan kemudian dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSI.

"Muhammad Hatim memang ditidurkan sejak dirawat di hospital akibat jangkitan kuman yang dialami. Anak saya juga menghidap talasemia sejak kecil yang memerlukan dia menjalani rawatan setiap bulan. Kami redha akan pemergiannya hari ini," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Abd Manan berkata, jenazah anaknya akan dimandi dan dikafankan di HSI sebelum dibawa ke kampungnya di Batu Pahat untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Jalan Sekolah, Batu Pahat, selepas solat Jumaat.

Disiarkan pada: December 29, 2017 @ 10:49am
d